Isnin, 4 Oktober 2010

Adakah Kita Tergolong Di Antara Mereka ? ..

11 jenis manusia didoa Malaikat

25 Syawal 1431 H
Oleh: azman ahmad

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar.

Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat. Ketika itulah sewaktu kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."

2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."

4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."

5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."

6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di man a ia melakukan solat."

7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.

"Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagai mana kalian meninggalkan hamba-Ku?"

Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.'"

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"

9. Orang yang membelanjakan harta (infak).

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidak satu hari pun di man a pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...' "

10. Orang yang sedang makan sahur.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: "Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."

11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: "Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."

Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Wallahu'alam. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama. InsyaAllah

1 ulasan:

AZLAN HAMZAH berkata...

Sebelum Jibril,ketua kepada semua malaikat ialah Azazil,dari keturunan jin.Sedangkan semua malaikat yang dibawah perintahnya,dijadikan dari cahaya.Tiba suatu masa yang ditetapkan,Allah Taala mengumumkan kepada mereka semua bahawa Ia akan Mencipta satu jenis makhluk baru yang paling sempurna yang diperbuat dari tanah liat,bergelar manusia.Para malaikat mengemukakan bantahan bahawa makhluk baru itu bakal membuat kerosakan di muka bumi nanti.Allah Yang Maha Penyabar melayan bantahan mereka dengan berfirman,"Aku Mengetahui apa yang kamu tidak ketahui."Kemudian Allah Taala Mencipta Adam serta Mengajarnya akan nama-nama benda-benda yang berada di alam ini.Sedangkan para malaikat tidak mengetahui nama-nama tersebut.Ketika ini sedarlah mereka yang manusia bernama Adam ini lebih berilmu dan sempurna dari mereka.Hingga apabila Allah Taala Memerintahkan mereka sujud kepada Adam,mereka terus menuruti tanpa apa-apa lagi bantahan.Tetapi Azazil,ketua kepada mereka dan yang patut menunjukkan contoh yang baik,dengan terus terang menentang Perintah Allah Subhanahuwataala,dan menghina Adam yang dijadikan dari tanah liat,tak setaraf dengannya yang dijadikan dari api.Allah Taala tidak Menghukum Azazil serta merta ketika itu.Ia cuma Mengingatkan Adam dan isterinya Hawa(yang diciptakan kemudian),supaya tinggal dengan aman di syurga dan menjauhi dari memakan buah khuldi yang berada di dalamnya.Malangnya kerana hasutan Azazil,mereka berdua terus memakan buah tersebut.Allah Taala Memerintahkan mereka berdua serta Azazil turun ke bumi sebagai hukuman.Sejak itu,Azazil dikenali sebagai Iblis,musuh Allah yang utama.Jibril dilantik menjadi ketua para malaikat yang baru.Jibril diriwayatkan pernah menangis kerana khuatir jawatan yang baru disandangnya akan membuatnya sombong dan bongkak serta menjadi derhaka seperti Iblis.Tetapi Allah Menenangkan hatinya dengan memberi jaminan hal itu tidak akan berlaku.

Demikianlah halnya,Azazil yang asalnya menduduki kedudukan yang tiggi dikalangan makhluk Allah,akhirnya menjadi Iblis yang hina dan dilaknat dan bakal diazab di akhirat kelak,hanya kerana menganggap dirinya mulia dan memandang rendah terhadap orang yang tak setaraf dengannya.

Fikirkanlah.
Wassalam.